May 21, 2009

Sudirman Haji Arshad Seorang Seniman Melayu Boleh

Sudirman Haji Arshad Seorang Seniman Melayu BolehSudirman Haji Arshad merupakan seorang penghibur melayu boleh yang cukup terkenal, beliau dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Sudirman ialah anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan. Anak Melayu Boleh ini merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia, malah telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza dan setanding dengan P. Ramlee. Anak jati melayu dari Pahang merupakan orang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Sudirman juga diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau juga adalah seorang penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.

Ibunya sangat aktif di arena politik, iaitu sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan serta Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili Kawasan Temerloh. Ibunya telah membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya jika adanya semangat fikirkan boleh, malah ibunya juga menjadi ketua dalam bidang yang diceburi. Namun, ibunya telah meninggal dunia pada tahun 1959 ketika usianya masih muda iaitu pada umur 32 tahun (ketika itu Sudirman berumur 5 tahun) setelah disyaki mengidap penyakit kanser. Bapanya merupakan seorang pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus Company), juga seorang ahli politik untuk UMNO di bahagian Temerloh, Pahang. Namun, bapa kepada Sudirman telah berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya, sebelum meninggal dunia pada 1978.

Sudirman mempunyai 5 orang bilangan adik beradik iaitu Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini, manakala beliau pula adalah anak bongsu. Dari sejak kecil lagi, beliau sering menyanyi walaupun di mana sahaja dia berada, maybe di toilet sekalipun (sekadar anggapan penulis blog ini sahaja) hehe... Malah, di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz, malah terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Beliau juga merupakan seorang yang aktif dan suka bersukan serta pandai berpidato, malah setiap waktu dia berada di perpustakaan dan membuktikan bahawa beliau merupakan sorang yang bijak pandai serta ulat buku kerana banyak menghabiskan masanya di gedung ilmu.

Sudirman telah memulakan sesi persekolahnya pada tahun 1961 di sebuah Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab). Selepas itu, beliau menyambungkan lagi pembelajarannya di Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan), Pahang sehingga beliau menamatkan pembelajarannya semasa hanya di Tingkatan 6. Sebelum beliau memasuki Tingkatan 6, Sudirman telah mengikuti kursus persediaan di ITM Petaling Jaya, malah beliau boleh mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negeri, akan tetapi dia menolak tawaran tersebut.

Pada tahun 1976, beliau telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang Undang-undang di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih boleh untuk membahagikan masanya dengan bijak di antara menyanyi mahupun kelas tutorial di Universiti Malaya. Pada tahun 1980, beliau telah berjaya menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Pada tahun 1983 pula, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktirafkan sebagai Peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya. Ketika itu, beliau dikenali sebagai "The Singing Lawyer".

Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi terkenal apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Pada ketika itu beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan "seluar pinjam..." apabila dia disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya itu. Hal itu telah menyebabkan para penonton suka dengan caranya yang berterus terang. Beliau juga mendendangkan lagu Jali Jali, merupakan sebuah lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suara beliau memang unik serta menarik perhatian pendengarnya. Bermula dari situlah beliau telah menjadi seorang penghibur terkenal dan berjaya. Untuk lebih lanjut mengenai kisah kejayaan beliau, silalah klik disini.

Di akhir hidupnya, beliau telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya, iaitu Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Lorong Taban 1, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun setelah 7 bulan beliau menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang di sebelah pusara orang tuanya. Ekoran daripada itu, ribuan peminat-peminat setia Sudirman termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.

4 comments:

  1. congrat...melayu boleh admin juga seorang melayu boleh yang sangat berkebolehan dan rajin...:) alfatihah untuk arwah sudirman semoga rohnya dicucuri rahmat..amin....

    ReplyDelete
  2. Suara dan lagu beliau sangat bagus, dan saya sangat menggemari lagu- lagu beliau. Semoga ada yang merilis ulang lagu- lagu beliau

    ReplyDelete
  3. Salam,
    Alamat tempat Sudirman menghembuskan nafas terakhir ialah 16 Lorong Taban 1, BUKAN 16 Jalan Taban 1. Harap Maklum. Terima kasih. Kak Rudiah Arshad

    ReplyDelete
  4. Wslm.. oh.. ye ke.. ok.. thanks sebab inform.. dah edit dah.. tak sangka kakak beliau melawat blog ni..

    ReplyDelete